TERBAIK DARI BLUEDIANTHUS!!!

Sunday, March 20, 2011

Home » , » Bersyukur...

Bersyukur...

Salam sejahtera dan selamat berhujung minggu aku ucapkan untuk semua pembaca blog ini. Sudah agak lama aku tidak mengemaskini blog ini. Terima kasih kerana masih sudi lagi datang bertandang di blog ini. Aku agak sibuk kebelakangan ini. Minta maaf kalau ada komen yang tidak berbalas, ada jejak yang tidak dijejak balas, dan juga email yang sampai. Apapun, aku sudah membalas email yang datang. Oppss...bukan surat cinta ya, tapi berkaitan dengan blogging dan juga program cari duit online. :)


Ahad ini aku jarang berada di atas talian. Aku menyibukkan diri bersama dengan ahli keluarga, beramah mesra dengan mereka. Masa inilah yang paling aku tunggu-tunggu untuk bergurau senda dengan adik-beradik. Adik kedua bongsu pula dah kembali ke maktab untuk meneruskan pengajian. Persekolahan pelajar sekolah juga akan bermula pada esok hari. Maka bermulalah kesibukan mereka yang bergelar ibu dan bapa.

Apapun kesibukan yang kita ada ini, kita jangan lupa untuk bersyukur dengan segala kurniaan yang diberikan Tuhan kerana ramai lagi di luar sana yang sedang berada dalam kesakitan. Tadi semasa menghabiskan masa di 1Borneo Mall, aku dan adik-adik aku melihat sekumpulan pelajar Universiti Malaysia Sabah melakukan amal kebajikan mengutip derma untuk mangsa gempa bumi dan tsunami di Jepun. Baguslah, masa di universiti inilah amalan yang patut dipupuk dan disemai di dalam diri. Mungkin satu hari nanti giliran Malaysia pula yang akan menerima bantuan kan. :)

Aku juga bersyukur kerana di Malaysia ini, kita bebas untuk mengamalkan agama tanpa sebarang rasa takut. Jika kita mempunyai makanan, pakaian dan tempat berteduh, bersyukurlah sebab kita lebih bernasib baik daripada mereka yang baru sahaja kehilangan rumah, lumpuh dari segi kewangan dan tidak cukup makanan untuk diagihkan kepada keluarga.


Jika kita mampu membaca, bersyukurlah sebab dengan adanya ilmu kita mampu untuk mengubah kehidupan kita kepada yang lebih baik lagi. Di luar sana masih ramai yang buta huruf kerana tidak mendapat peluang untuk belajar. Tapi malangnya, ramai yang tidak bersyukur dan menggunakan sepenuhnya ilmu yang diperolehi. Bersyukur adalah satu sikap yang perlu kita lakukan setiap hari. Walaupun mungkin dalam hari-hari yang ada, berlaku sesuatu yang tidak kita inginkan, semua itu tentu ada hikmah di sebalik kejadian.

Bersyukurlah kita kerana kita hidup di Malaysia yang masih aman dan damai, ekonomi yang stabil dan jurang taraf ekonomi semakin dirapatkan. Bersyukurlah kita sentiasa.

p/s: Ingatlah, apabila kita angkat tangan, Tuhan akan turun tangan. Bila kita turun tangan, Tuhan akan angkat tangan....semoga kita semua tahu untuk bersyukur dalam segala perkara...mudah-mudahan..

Artikel Sebelumnya: Peluang dan Masa

ARTIKEL BERKAITAN:

Related Posts with Thumbnails