TERBAIK DARI BLUEDIANTHUS!!!

Friday, October 8, 2010

Home » , » Jerih lelah yang terbalas

Jerih lelah yang terbalas

Akhirnya, jerih lelah insan yang bergelar siswa dan siswi akan terbalas keesokan harinya. Esok  merupakan Majlis Konvokesyen yang ke 12 Universiti Malaysia Sabah dan aku mengucapkan tahniah dan syabas kepada mereka yang telah berjaya menamatkan pengajian. Nasihat aku, ini bukanlah pengakhiran bagi perjuangan kita sebagai seorang manusia di bumi ini. Malahan ianya merupakan satu permulaan bagi kita untuk berjuang di alam masyarakat nanti. Lebih-lebih lagi sebelum konvokesyen lagi ada di antara mereka yang sudah mula mencari peluang kerja atau kerja kosong tidak kiralah secara part-time ataupun sepenuh masa.


Bekerja di alam masyarakat, hanya sedikit pengetahuan yang kita timba daripada menara gading akan kita gunakan. Apa yang lebih penting ialah bagaimana kita berfikir dan membuat tindakan yang sewajarnya. Nilai-nilai murni yang ada tidak boleh hilang dalam jati diri kita sebagai seorang manusia. Mentang-mentanglah kita ini orang belajar tinggi, orang-orang yang hanya setakat tahu menulis nama sendiri diperlekehkan begitu sahaja. Manusia yang insani bukan tidak wujud di dunia ini, tapi sifat ini sudah semakin pudar seiring dengan peredaran zaman. Wawasan 2020, adakah akan dapat dicapai sekiranya sifat berbudi bahasa tidak diamalkan? Fikir jauh, jangan prejudis.

Akhir-akhir ini, di dada akhbar, di kaca tv, di stesen radio sibuk memperkatakan tentang keruntuhan tamadun manusia. Ya, mungkin ayat aku ini agak keterlaluan, tetapi itulah hakikatnya. Bayi yang tidak berdosa dibuang seperti sampah, seperti tidak berguna. Alpa, bahawa bayi itu juga bernafas seperti kita. Pilu dan menyayat hati melihat kes buang bayi ini. Aku memang tak sanggup melihat kekejaman seperti ini.  

Hari ini juga merupakan hari terakhir umat Islam menyambut Syawal. Ketika ada yang bergembira bersama keluarga, jangan kita lupa kepada mereka yang baru kehilangan insan tersayang. Kematian tragik jutawan kosmetik Malaysia, Dato Sosilawati Lawiya beserta 3 orang yang lain, pasti menjadi kenangan pahit yang sukar dilupakan oleh keluarga beliau, juga rakyat Malaysia. 

Buat para graduan, peliharalah diri dengan sebaik-baiknya. Jagalah tingkah laku, pergaulan bebas merosakkan kebiasaan yang baik. Hormatilah, berbaktilah dan sayangilah keluarga sementara masih ada kesempatan. Apa juga pekerjaan yang diceburi, tidak kiralah samada kerja kerajaan ataupun swasta, semoga semuanya mendatangkan berkat dan rezeki yang halal. Mudah-mudahan.. Tahniah kerana berjaya menempuhi alam menara gading dengan jayanya! Di kesempatan ini juga, aku ingin mengucapkan tahniah kepada bekas guru aku semasa di darjah 4, kerana bakal menggapai segulung ijazah yang diidamkan selama ini.

p/s: Bluedianthus akan pulang ke kampung petang ini. Sekiranya ada kesempatan, satu artikel yang diterbitkan secara automatik akan dipaparkan keesokan harinya akan aku siapkan. Selamat berhujung minggu dan salam sayang buat semua pembaca. :)








ARTIKEL BERKAITAN:

Related Posts with Thumbnails